Daisypath - Personal pictureDaisypath Graduation tickers

Tuesday, July 16, 2013

Cinta Hati saya : EMAK!


Mak, adalah insan pertama yang menyayangi saya tanpa syarat apa pun. Sejak dari dalam rahimnya lagi saya telah disayangi tanpa difikirkan bagaimana rupa fizikal saya nanti. Mak adalah insan pertama yang saya kenal sejak dari pertama membuka mata melihat dunia. Mak adalah anugerah istimewa buat saya. Setiap butir katanya adalah nasihat yang ikhlas. Setiap gerak lakunya adalah contoh tauladan dalam mendidik anak-anaknya. Setiap sayu redup pandangnya adalah penuh kasih yang sentiasa subur buat anak-anaknya. Cinta Mak adalah tulus sentiasa memberi dan tanpa dipaksa. Sungguh, tanpa ikhlas cintanya dalam doa buat anak-anaknya tidaklah saya di sini. Mengejar cita-cita dan cinta!

Dua perkara yang dirindui. Emak dan Tanah Haram penuh berkat ini.
  
Mak adalah seorang jururawat yang luar biasa pandangan dan gerak kerjanya. Berjiwa besar. Bermatlamat jelas. Saya sentiasa mengaguminya dalam diam. Mak selalu bergerak pantas seiring semangatnya. Dia juga merawat dan mendidik peribadi insan-insan di sekelilingnya. Mak ada beberapa lapisan generasi anak-anak didiknya. Dari berpangkat doktor hingga kepada Pembantu Perubatan. Saya dibesarkan dalam suasana ilmiah. Dari kecil saya sentiasa mengikut Mak ke kelas kelas pengajian di masjid2 atau surau2. Sehingga kini saya masih setia membontoti Mak ke kelas pengajiannya di Maahad saya!

Bersama anak2 murid ngaji



Satu perkara yang saya pasti tentang Mak ketika ini adalah Mak sangat bangga dengan anak-anaknya kini. Walaupun tiada yang bekerja besar namun masing-masing punya haluan hidup yang bertepatan dengan kemahuan Mak. Mak sentiasa berbangga apabila memperkenalkan kami kepada para kenalannya. Mak sentiasa menjadikan saya sebagai pembantu ketika dijemput mengepalai majlis-majlis agama. Mak sentiasa meletakkan kepercayaan yang sewajarnya kepada anak-anaknya. 

Saya adalah anak keempat. Anak yang banyak perangai. Degil. Nakal. Suka memberontak. Tak dengar cakap. Macam macam lagilah perangai saya. Saya manusia yang keras hatinya. Banyak nasihat-nasihat Mak yang saya abaikan. Terutama apabila berkait rapat dengan kehidupan dan cinta. Bagi saya, saya punya pandangan saya sendiri. Huhu. Degilkan. Tapi, Mak sentiasa beri saya kepercayaan. Mak jarang marah-marah saya sejak saya menginjak usia remaja. Mak jarang bebelkan saya. Namun Mak sentiasa selitkan nasihat dalam gurauan dan bicara hariannya. Dari dulu, Mak jarang puji saya sepertimana Mak sentiasa puji Sarah dan Adik. Mak jarang bicara tentang saya sepertimana Mak sentiasa bercerita tentang Abang3 saya. Dulu, saya sentiasa rasa terpinggir. Semakin meningkat usia, saya makin faham. Sayang Mak tak pernah bertepi. Sayang Mak ada cara tersendiri. Sayang dan cinta seorang Mak adalah rasa yang paling berseni. Yang tiada siapa dapat mentafsir rasa itu. :)





Saya bersyukur dilahirkan dan dibesarkan oleh sepasang hamba Allah yang benar-benar faham matlamat hidup di dunia ini. Saya gembira Allah kurniakan saya Mak Ayah yang mengambil berat tentang kefahaman Islam, Iman dan Ihsan dalam diri kami anak-anaknya. Mak Ayah adalah antara perkara yang terbaik Allah kurniakan dalam saya! Alhamdulillah.

Mak, Siti tahu Mak tak baca coretan ini. Tapi Siti sentiasa bersyukur Siti sentiasa ditemani oleh doa-doa Mak Ayah dalam perjalanan kehidupan ini. Siti tahu Siti bukanlah anak yang baik. Tapi, Siti sentiasa cuba untuk jadi yang terbaik untuk Mak Ayah dan diri Siti sendiri. Mak, banyak yang Siti belajar dari kesungguhan Mak. Banyak yang Siti belajar dari semangat Mak. Mak, banyak nasihat-nasihat Mak yang dulu-dulu tapi baru Siti nampak kebenarannya akhir-akhir ni. Setiap nasihat dan kata-kata Mak betul dan benar. Sentiasa kena dengan kehidupan Siti. Terima kasih Mak atas segala didikan dari sejak Siti dalam rahim Mak lagi hingga sekarang. Terima kasih Allah sebab kurniakan Mak Ayah yang terbaik dalam kehidupanku. 

Moga kehidupan Mak sentiasa dilimpahi rahmat dan kasih sayang Allah. Moga Allah panjangkan umur Mak dan Ayah dalam keberkatan. Moga Mak dan Ayah sentiasa diberi kesejahteraan oleh Allah. Ameen.







seikhlas kasihku ; 6 Ramadhan. Entry ni adalah sebab rindu yang amat sangat. Penatnya countdown nak pulang ke sarang tenang. T_T   Moga Allah mudahkan segala urusan. Moga Allah kurniakan nusroh yang tak disangka-sangka dalam setiap apa yang dihajati. Ameen3.

seikhlas kasihku ; Moga Cik Siti ni sentiasa semangat, semangat dan semangat! Jangan putus asa dalam mencari Cinta dan RedhaNYA. Terus melangkah walau penat. Teruskan berjalan. Kerana Allah sentiasa menanti kita hambaNYA dengan penuh rahmat dan kasihNYA. Chaiyok3.



No comments :

Post a Comment